Monday, June 17, 2013

Persiapan Menjelang Ramadhan

23 hari lagi Syaaban akan meninggalkan kita semua..semua orang tertunggu - tunggu menantikan bulan yang penuh berkat dan bulan yang terlalu banyak kelebihannya iaitu bulan Ramadhan..apa yang kita tunggu lagi rebut le peluang yang ada depan mata selagi diberi kesempatan untuk hidup, marilah kita sama-sama tambahkan pahala dan amal ibadat...

KENAPA KITA WAJIB BERPUASA?
 
Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 183 dan 185 yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana yang diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.”

“Masa yang diwajibkan berpuasa itu ialah bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu..”.

Sesungguhnya bulan Ramadhan bulan yang setiap tahun dinantikan ketibaannya oleh setiap umat Islam, memandangkan ia bulan yang mulia dan memberikan terlalu banyak manfaat, faedah, fadhilat dan masa depan yang cerah bagi mereka yang menghayatinya.

FADHILAT DAN KEUTAMAAN RAMADHAN

Terdapat puluhan hadis Rasulullah s.a.w. yang menjelaskan tentang fadhilat dan keutamaan bulan Ramadhan, bukan sahaja untuk manfaat umat Islam di akhirat kelak bahkan faedah di dunia ini.
Walau bagaimanapun faedah dan manfaat itu hanya diberikan kepada umat Islam yang taat menjunjung segala perintah Allah dan menjauhi laranganNya. Mereka yang ingkar, tidak berpuasa, tidak mengerjakan solat dan lain-lain perintah Allah, tidaklah berhak mendapatnya.
Di bawah ini diringkaskan beberapa maksud hadis Rasulullah s.a.w mengenai fadhilat, kelebihan, keutamaan dan kemuliaan bulan Ramadhan serta amal ibadah yang sewajarnya dilakukan.


Pintu langit dibuka
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
“Apabila masuk bulan Ramadhan maka dibukakanlah pintu-pintu langit dan ditutupkan pintu-pintu neraka dan diikatlah semua syaitan.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)


Pintu-pintu syurga dibuka
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
“Pada malam pertama bulan Ramadhan diikatlah semua syaitan dan jin dan ditutuplah semua pintu-pintu neraka dan tidak dibuka satu pintu pun darinya. Dan dibukakanlah pintu-pintu syurga dan tidaklah ditutup satu pun darinya. Maka berserulah penyeru; Wahai orang yang melakukan kebaikan hampirlah kamu, wahai orang yang melakukankejahatan undurlah kamu. Dan sesungguhnya Allah mempunyai ahli neraka yang dibebaskan dan sedemikian itu berlaku pada setiap malam Ramadhan.”
(Riwayat At-Tirmizi dan Ibnu Majah dari Abu Hurairah r.a.) 

 KELEBIHAN BULAN RAMADHAN

Bulan Ramadhan adalah bulan yang sangat tinggi darjat dan besar martabatnya di sisi Allah s.w.t. dan RasulNya, ia juga penghulu segala bulan. 

Di antara kelebihan dan keistimewaan bulan Ramadhan itu Allah s.w.t telah menurunkan kitab suciNya (Al-Quran) yang menjadi petunjuk pada manusia. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan kitab sucinya (Al-Quran) yang menjadi petunjuk bagi sekelian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan yang benar dengan yang salah." Surah Al-Baqarah : 185.

Di pilih di antara malam-malam bulan Ramadhan itu suatu malam Lailatulqadar yang mana ia jauh lebih baik daripada seribu bulan. Seribu bulan itu kira-kira 83 tahun.. Menurut ulama Lailatulqadar itu jatuh pada salah satu malam sepuluh yang terakhir daripada bulan Ramadhan. Sayugia diingatkan bahawa jangan disia-siakan malam-malam di bulan Ramadhan dengan perkara-perkara tidak berfaedah, bahkan hendaklah diisi dengan amal ibadat sebagai saham dan bekalan di dunia dan akhirat.

KELEBIHAN PUASA DI BULAN RAMADHAN

Apabila membincangkan mengenai bulan Ramadhan, dengan sendirinya ia mempunyai hubungan dengan kewajipan puasa yang disyariatkan didalamnya. Suatu kewajipan yang tidak boleh ditinggalkan. Meninggalkan atau sengaja tidak menunaikan kewajipan puasa, bukan sahaja suatu dosa besar bahkan ia tidak boleh ditebus dalam apa jua cara. Tidak boleh ditukar ganti, sekalipun orang yang meninggalkannya berpuasa seumur hidup. Ini jelas sebagaimana sambda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud:

"Sesiapa berbuka satu hari pada bulan Ramadhan tanpa ada rukhshah (keringanan) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak akan dapat melunas (mengganti) puasa yang ditinggalkannya itu, sekalipun dia berpuasa seumur hidup."
Hadis riwayat Tirmidzi, Abu Daud, Nasa'i, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah)